 |
 |
PENUBUHAN SEKRETARIAT PELANCONGAN ISLAM SEDUNIA DAN PELANCARAN
7 KEAJAIBAN DUNIA ISLAM ANTARA AGENDA GITC
KUALA LUMPUR, JULY 2008 - Industri pelancongan di kalangan negara-negara Islam dijemput menyertai usaha untuk menubuhkan
sebuah Sekretariat Pelancongan Islam Sedunia yang beribupejabat di Malaysia. Cadangan itu adalah antara agenda di Pameran
dan Persidangan Pelancongan Islam Global (Global Islamic Tourism Conference - GITC) di Putrajaya akhir Julai ini.
Sekretariat ini akan memberi nafas baru kepada sebarang usaha sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan
untuk meningkatkan industri pelancongan di kalangan negara-negara Islam khususnya, dan di seluruh dunia amnya. Antara lain,
Sekretariat ini akan membantu menetapkan piawaian dari aspek penginapan, pemakanan dan perkhidmatan yang terdapat dalam
industri pelancongan.
Pengerusi GITC, Datuk Ahmad A Talib, mewakili Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia (NTCM), berkata: "Sekretariat ini
bertujuan membantu meningkatkan lagi profil pelancongan di negara-negara Islam dan di seluruh dunia. Hari ini, orang
Islam merantau dan melancong seantero dunia. Kita mahu mereka melancong dengan selesa dan mendapat perkhidmatan yang
bermutu tinggi.
"Pelancong Islam juga menziarahi negara-negara bukan Islam dan Sekretariat ini akan berusaha meningkatkan tahap
pengetahuan pengusaha pelancongan di negara-negara berkenaan. Saya percaya ramai pengusaha memang mengetahui
keperluan pelancong Islam. Sekretariat ini bertujuan membantu mengemaskini dan melengkapkan pengetahuan mereka,"
ujarnya lagi.
Cadangan Sektariat ini akan dibentang dan dibincangkan di GITC yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 30 Julai
ini di Pusat Konvensyen Global Putrajaya. Adalah diharapkan Sekretariat ini akan bekerja rapat dengan Forum Ekonomi
Islam Sedunia (WIEF) yang juga beribupejabat di Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan merasmikan Persidangan GITC pada 31 Julai.
Satu pamiran perkhidmatan pelancongan diadakan sempena persidangan itu. Mereka yang bergiat dalam industri pelancongan
dari dalam dan luar negara akan mempamirkan kemudahan dan tarikan mereka. Pertemuan yang dikenali sebagai 'buyers meet sellers'
juga sedang diurus sepanjang GITC. Pertemuan ini memberi peluang kepada pengusaha bertemu dan membuat promosi sesama mereka.
Selain Sekretariat, GITC juga akan menyenaraikan Tujuh Keajaiban Dunia Islam (7 Wonders of the Islamic World*) yang
dipilih seluruh dunia. Proses pemilihan akan diumumkan pada sidang GITC. Penyenaraian Tujuh Keajaiban Dunia Islam ini
akan membantu meninggikan lagi profil negara-negara di mana keajaiban itu wujud, dan ini sekaligus menjadi tarikan
yang kuat pada pelancong.
Keajaiban ini akan dibukukan sebagai bahan sejarah, cukup dengan latar belakang dan butiran lengkap.
Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said akan mengadakan dialog tertutup dengan juara pelancongan yang hadir di
GITC. Kesan kenaikan harga minyak dan elektrik, tenaga mahir, halatuju industri pelancongan tanahair dan dunia dan
kerjasama sesama pengusaha dijangka menjadi topik di dialog berkenaan.
Butir lanjut mengenai GITC boleh diperolehi dari lama web www.islamic-tourism.com atau melalui talipon di
60356388890/0193507667/0192672200/ 0192216502/0122653013/0122183324.
* 7 Wonders of the Islamic World adalah produk GITC.
Issued for and on behalf of the Global Islamic Tourism Conference by The Songket Place Sdn Bhd.
Media enquiries: Datin Norsimah @ media@islamic-tourism.com (mobile: +6012-2183324.).
Click here for Press Release in English Language
|
 |
|
 |
|